KUCHING, 6 Julai: Kerajaan Sarawak optimis meningkatkan pendapatan isi rumah rakyatnya selepas negeri ini sekali lagi diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi dua kali berturut-turut oleh Bank Dunia, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tang Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau usaha berkenaan berikutan wilayah ini telah melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2023 dengan melebihi USD14,005 daripada Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita yang telah berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan pada tahun lalu.
“Apa yang perlu sekarang ialah Kerajaan Sarawak akan terus berusaha menaikkan pendapatan isi rumah yang mana kita hendak menambahkan pendapatan rakyat Sarawak di bandar dan luar bandar termasuk sektor-sektor yang membolehkan mereka berusaha untuk meningkatkan pendapatan masing-masing,” kata beliau.
Beliau mengulas berhubung data terbaharu yang dikeluarkan hasil pengiraan kakitangan Bank Dunia Malaysia berdasarkan data KDNK per kapita peringkat negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023 yang dikeluarkan pada 2 Julai lalu yang mendedahkan Sarawak telah melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2023 dengan melebihi USD14,005 Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita.
Khamis lepas, Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi menerusi hantaran di X berkata Sarawak telah merekodkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak USD16,560 dan menduduki tempat keempat antara lima negeri tertinggi di Malaysia yang telah berjaya mencapai status itu.
Tahun lepas, Sarawak telah menempa sejarah apabila buat pertama kalinya diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi di Malaysia untuk tahun 2022.
Data pada tahun itu telah menunjukkan Sarawak telah melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2022 dengan melebihi USD13,205 Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita. – TVS