SURABAYA, 4 Julai: Pelari pecut kebangsaan Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini mahu memfokuskan pada pemulihan sebelum menjalani latihan dalam tempoh singkat menghadapi Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirai 26 Julai ini.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau juga akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) berhubung persediaannya ke temasya sukan berprestij itu.
“Saya mahu buat terbaik latihan dan proses sembuh dalam tempoh yang tak lama dan tak terlalu singkat ini, fokus saya untuk pemulihan (recovery)…
“Balik dari Indonesia saya mungkin akan duduk (berbincang) dengan ISN, MSN macam mana perjalanan saya ke Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Muhammad Azeem pada Isnin memaklumkan beliau mengalami beberapa kecederaan ringan yang memaksanya untuk menjalani proses pemulihan pada Februari hingga April lepas.
Menurutnya setakat ini beliau sudah seratus peratus sembuh namun masih berdepan trauma ketika beraksi di atas trek.
Sementara itu, Muhammad Azeem berkata beliau sudah mengenali beberapa pencabarnya di Olimpik memandangkan beliau sering beraksi di kejohanan-kejohanan di Amerika Syarikat sebelum ini
“Ini kali pertama ke Olimpik tapi saya sudah tahu siapa pencabar saya yang akan bertemu di Olimpik, kebanyakan mereka sudah saya jumpa dan ada yang sama saringan sebelum ini.
Mengakui berdepan laluan sukar untuk layak ke final, Muhammad Azeem berjanji untuk melakukan yang terbaik.
“Ini peluang terbaik saya untuk berentap, agak sukar nak layak ke final, tapi sudah lama kita tak ada atlet pecut 100m ke Olimpik…peluang yang diberikan dalam umur 20 tahun ini saya akan cuba terbaik,” katanya.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mengumumkan Muhammad Azeem dipilih untuk mengisi tiket wild card untuk beraksi dalam acara reben biru itu. -TVS