KUALA LUMPUR, 29 Julai — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang melaksanakan penjenamaan dan transformasi menyeluruh secara berperingkat bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap tabung pendidikan itu di bawah Pelan Strategik PTPTN 2021-2025.
Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini termasuk memperkenalkan visi dan misi serta moto baharu iaitu ‘Peluang Kejayaan Anda’, selari hasrat PTPTN untuk menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara yang terunggul.
“PTPTN juga melaksanakan penjenamaan dalaman untuk melahirkan kakitangan yang berdedikasi dan bermotivasi dalam memberikan perkhidmatan serta sentiasa berbangga dengan jenama kita sendiri.
“Setelah 24 tahun kewujudan, telah tiba masanya, masyarakat perlu menyedari fungsi dan sumbangan utama PTPTN kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan negara… dengan komunikasi yang berkesan, persepsi negatif segelintir masyarakat tentang PTPTN akan dapat ditangani,” katanya ketika pelancaran pelan strategik itu secara maya hari ini.
Beliau berkata selari dengan peredaran masa, kemajuan teknologi dan perubahan iklim ekonomi, PTPTN perlu melakukan tranformasi agar terus kekal relevan dan berdaya saing dalam memperkasa sektor pendidikan dan memenuhi keperluan masyarakat dengan memberikan perkhidmatan terbaik.
Katanya, di bawah pelan tersebut, lima teras strategi utama dirangka iaitu menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama dalam negara selain memperkasakan pengurusan pinjaman pendidikan sebagai pengurus pinjaman pendidikan utama dan unggul.
Selain itu, menambah baik pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman dengan lebih efektif, melaksanakan strategi pendanaan dan pelaburan mendatangkan pulangan optimum serta memperkasakan organisasi yang lebih dinamik dan cemerlang.
“Lima teras strategik ini menterjemah aspirasi PTPTN dalam memastikan dana pinjaman dan simpanan dapat diurus secara efektif melalui tadbir urus yang cemerlang dan berintergriti, sekaligus membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang mendapat akses pendidikan yang berkualiti.
“Saya yakin dengan garis panduan yang jelas dan misi penjenamaan yang dibawa dalam pelan strategik ini, PTPTN akan melakar kejayaan sebagai institusi penabungan dan pengurus utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi menjelang 2025 dan bangkit menjadi sebuah organisasi yang dibangga dan disegani masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pelan strategik itu turut menumpukan kepada usaha memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pengubahsuaian imej, budaya dan proses kerja dengan pelaksanaan penjenamaan dan pendigitalan PTPTN.
Wan Saiful berkata bagi memastikan pengurusan data secara lebih sistematik, PTPTN akan memperkasakan Pengurusan Maklumat PTPTN melalui Rangka Kerja Artificial Intelligence (AI) dalam menganalisa data serta meningkatkan keupayaan aplikasi dan perkakasan ICT dengan penggunaan teknologi terkini.
Sementara itu, beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1997, PTPTN telah membantu lebih 3.51 juta pelajar dengan jumlah pinjaman dikeluarkan sebanyak RM63.82 bilion bagi memenuhi impian pelajar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Bagi peminjam yang kurang berkemampuan, PTPTN sentiasa mengalu-alukan kerjasama peminjam untuk berunding bagi penstrukturan semula pinjaman supaya mereka dapat menikmati ansuran bulanan mengikut kemampuan,” katanya.
Tambahnya, hingga 31 Mei lepas juga, PTPTN mencatatkan kutipan deposit tabungan SSPN yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM8.99 bilion dengan lebih 4.98 juta akaun direkodkan.
“PTPTN akan terus mempergiat pelbagai promosi dan kempen untuk mendidik masyarakat agar memulakan simpanan anak-anak seawal usia sehari, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan mereka kepada pinjaman pendidikan dalam jangka masa panjang,” katanya.
— BERNAMA