KUALA LUMPUR, 28 Julai — Majlis Keselamatan Negara (MKN) dicadang menyalurkan informasi lebih terkini dan terperinci melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam mendidik rakyat mengawal COVID-19 terutama terhadap varian baharu yang lebih bahaya.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh ketika melontarkan cadangan itu berkata ia termasuk menyalurkan cara-cara mengurus ahli keluarga yang dijangkiti COVID-19 dan mendapat rawatan di rumah.
“Memang ada maklumat melalui Telegram dan Facebook, tetapi melalui SMS MKN info sangat kurang dan tidak semua individu ada akses terhadap Telegram dan Facebook, jadi SMS MKN perlu digunakan dengan lebih efektif dalam mendidik rakyat mengurus virus itu secara kendiri sebelum mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Yeoh berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) untuk premis beroperasi selain memeriksa suhu badan kerana kebanyakan kes pada ketika ini tidak bergejala, antaranya mengenai pengudaraan ketika berada di tempat tertutup.       Â
 “Tiada sebarang maklumat SOP pengudaraan daripada KKM yang disebarkan supaya rakyat tahu misalnya ketika bekerja, tingkap pejabat perlu dibuka, begitu juga ketika menaiki kenderaan seperti teksi, tingkap perlu dibuka.
“Tetapi ramai yang tidak tahu mengenai SOP ini, berada di dalam ruangan tertutup adalah sangat bahaya pada ketika kes COVID-19 sedang meningkat ini,” katanya.
Justeru beliau mahu KKM dan MKN mengambil langkah segera mengemas kini dan menyalurkan sebanyak mungkin maklumat mengenai SOP terkini itu melalui medium yang ada.
— BERNAMA