SEREMBAN, 27 Julai — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menangkap seekor tapir Malaya betina seberat 300 kilogram selepas memasuki perangkap di Felda Pasoh 2, Simpang Pertang, pada 18 Julai lepas.
Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata perangkap tersebut telah dipasang sejak 17 Julai susulan aduan penduduk mengenai kelibat seekor tapir Malaya tersebut di lokasi berkenaan pada tiga hari sebelumnya.
“Siasatan awal mendapati tapir berkenaan datang untuk makan buah macang berdekatan dengan rumah kakitangan Felda Pasoh 2 dan berkemungkinan bau buah itu menarik perhatian tapir itu.
“Kawasan tersebut berhampiran dengan hutan belukar serta ladang kelapa sawit,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata haiwan itu memasuki perangkap pada 8 pagi dan sebaik menerima maklumat itu, 10 anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke Felda berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut.
Katanya pada tahun ini, empat tapir Malaya atau nama saintifiknya Tapirus Indicus telah diselamatkan daripada diancam kepupusan.
Beliau berkata tapir tersebut berada dalam keadaan sihat dan dirawat oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke kawasan Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu pada hari yang sama bagi memastikan spesiesnya terjaga.
— BERNAMA