KUALA LUMPUR, 26 Julai — Kerajaan meluluskan cadangan perolehan 16 unit dron jenis Vertical Take-Off and Landing (VTOL) untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah projek perolehan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan unjuran siling bernilai RM48 juta.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan berkata unjuran siling itu adalah anggaran berdasarkan kajian harga pasaran dron berspesifikasi terkini yang sesuai bagi penugasan taktikal dan pemantauan.
“Dron yang akan diperolehi adalah jenis dron elektrik (menggunakan kuasa bateri) berkuasa tinggi dan akan dilengkapi dengan Gyro Stabilised Camera (Electo Optical/ Infra Red) yang boleh membuat penerbangan dan rakaman visual resolusi tinggi (foto, video dan penstriman langsung) pada waktu siang dan malam.
“Selain itu, bagi setiap unit dron yang diperolehi, pakej juga merangkumi kenderaan stesen darat bergerak yang dilengkapi dengan Turret Tracking Antenna System, Weather Station dan Portable Global Navigation Satelite System,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sahabudin semua dron itu akan digunakan bagi tujuan penugasan melibatkan pemantauan serta membanteras ancaman di kawasan sempadan negara dalam usaha menangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Sahabudin berkata PDRM menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan pasukan memiliki aset dan kelengkapan terkini bagi memantapkan lagi penugasan agar keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Sabtu lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Maslan Lazim dilaporkan berkata PDRM akan menerima 16 dron berkuasa tinggi yang diluluskan kerajaan pada RMK-12.
Mazlan berkata dron itu akan dikawal oleh Pasukan Gerakan Udara bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan terutama di kawasan yang tidak berpagar.
— BERNAMA