Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar bertarikh 2 Jun menunjukkan Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus. Foto AFP

Abu gunung berapi Lewotobi jejas dua lapangan terbang di Indonesia

ByBernama

KUPANG (Indonesia), 17 Jun: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) melaporkan bahawa abu gunung berapi daripada letusan Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur (NTT) telah menjejaskan dua lapangan terbang di Pulau Flores.

Dua lapangan terbang yang terjejas ialah Lapangan Terbang Frans Seda di Maumere, Daerah Sikka dan Lapangan Terbang Haji Hasan Aroeboesman di Daerah Ende, lapor agensi berita ANTARA.

“Lapangan Terbang Frans Seda dan Lapangan Terbang Haji Hasan Aroeboesman perlu berhati-hati terhadap penyebaran abu gunung berapi,” kata Ketua Stesen Meteorologi Fransiskus Xaverius Seda Sikka, Ota Thalo pada Ahad.

Beliau menjelaskan bahawa penyebaran abu gunung berapi dari Gunung Lewotobi Laki-laki diperhatikan pada ketinggian permukaan sehingga 10,000 kaki dan bergerak ke arah barat daya dengan kelajuan 15 knot dengan intensiti berterusan.

Menurut Thalo petunjuk kesan letusan itu diramalkan berlarutan sehingga esok.

“Teruskan kemas kini maklumat mengenai penyebaran abu gunung berapi dari BMKG,” katanya mengingatkan.

Ketika dihubungi secara berasingan, Ketua Unit Pengurusan Lapangan Terbang Kelas II (UPBU) Lapangan Terbang Frans Seda Maumere, Partahian Panjaitan, berkata bahawa indikasi abu gunung berapi telah menyebabkan penutupan aktiviti penerbangan di Lapangan Terbang Frans Seda pada Ahad.

Panjaitan memaklumkan bahawa penerbangan boleh kembali normal jika pemerhatian dari BMKG dan keputusan ujian kertas di landasan menunjukkan negatif.

“Jika keputusannya negatif, ini menunjukkan tiada petunjuk abu gunung berapi lagi. Penerbangan boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, penutupan aktiviti penerbangan adalah langkah penting untuk keselamatan penerbangan.

Jika abu gunung berapi mengenai enjin pesawat, ia boleh memberi kesan buruk kepada penerbangan.

“Kami menggesa bakal penumpang untuk menyelaras atau mengikuti pengumuman daripada syarikat penerbangan,” katanya.

Gunung Lewotobi Laki-laki adalah gunung berapi aktif yang kini berada di Tahap III atau tahap aktiviti Amaran. Pada Ahad, ia meletus dan memuntahkan abu gunung berapi setinggi 1,000 meter ke udara.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan