KUCHING, 12 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui bahawa kejayaan yang diraih oleh wilayah ini merupakan hasil daripada usaha kerajaan bersama sokongan padu rakyatnya.
Menurut beliau kerjasama utuh yang disumbangkan oleh semua pihak telah menyaksikan Sarawak mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dunia dalam pelbagai sektor ekonomi.
“Saya amat berbangga kerana kejayaan yang kita perolehi setakat ini adalah usaha kolektif agar dapat meletakkan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Gawai Dayak Jabatan Premier Sarawak 2024 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Abang Johari dalam pada itu menggariskan pembangunan yang dilaksanakan di wilayah ini dilaksanakan dengan semangat Gawai dalam usaha meraih semangat menuai yang baik.
Oleh itu, beliau berharap Sarawak mampu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu, iaitu sebanyak RM13.3 bilion. -TVS