KUCHING, 9 Jun: Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menghiburkan hampir 500 penonton dari pelbagai lapisan masyarakat di Tebingan Sungai Sarawak, di sini malam tadi.
Konsert yang berlangsung selama dua jam itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Konsert itu mengetengahkan enam kesenian irama Melayu Sarawak tradisional iaitu Gendang Nopeng, Bangsawan, Tarian Zapin Bandarsah, Gurindam dan Syair, Silat Pulut Sarawak dan Gambus Sarawak yang dibahagi kepada dua segmen iaitu tradisional dan kontemporari.
Dalam segmen kontemporari, semua lagu terkenal dari zaman tahun 50-an sehingga kini turut dipersembahkan oleh Orkestra PASBK dan Kombo PASBK.
Bertemakan ‘Tiada yang lama, Tiada yang baru’ yang membawa maksud jika tiada kesenian dan budaya serta tradisi lama yang menjadi tunjang irama dan budaya manakan masyarakat Melayu Sarawak dapat meneruskan dan mengamalkan budaya tradisi di kala ini.
Penyanyi tanah air Bob Yusuf dan penyanyi tempatan seperti Datuk Sarbanun Marican, Safar Ghaffar, Jamiah Lanbed, Firdaus Materang, Norafizah Busman, Shatila Kamil, Abdul Gapor Ros, Hazwani Alias, Dahlia Alias dan Nurhijrah Yahya turut dijemput menyampaikan nyanyian irama tradisional dan moden di malam Konsert Getaran Kesenian Melayu Sarawak tersebut.
Menariknya, Abang Johari turut melantun suaranya dengan mendendangkan sebuah lagu iaitu ‘Hati Ke Hati’ bagi menghiburkan tetamu yang hadir.
Bukan itu sahaja, Bob Yusof turut mendendangkan lagu baharu yang dicipta bersama Narawi Rashidi dan Dahirisaini Anas yang pertama kali dipersembahkan di khalayak ramai iaitu Zapin Mulia yang diiringi Orkestra PASBK bagi menutup konsert itu.
Diakhir konsert itu, Pengerusi PASBK Abdul Rahman Zainuddin menyampaikan cenderahati kepada Tun Dr Wan Junaidi, Abang Johari dan Abdul Karim sebagai kenang-kenangan.
Seusai sesi berkenaan, Tun Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dengan spontannya mendendangkan lagu ‘Kemesraan’ bersama tetamu kehormat yang sudah tentunya menjadi suatu memori indah buat PASBK.
PASBK berharap agar anjuran konsert ini dapat memperkenalkan masyarakat generasi muda mengenai kebudayan dan kesenian Melayu Sarawak melalui gubahan lagu yang tradisional dengan konsep baharu yang moden.
Turut hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan. – TVS