KUALA LUMPUR, 5 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib, yang meninggal dunia malam tadi.
Beliau berkata, pengorbanan serta perjuangan Allahyarham akan tersemat selamanya.
“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
“Saya pasti akan mengenang setiap karya Allahyarham yang sentiasa membawa suara dan denyut nadi rakyat,” katanya menerusi kenyataan media sosialnya, malam tadi.
Mohd Supyan, 66, menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman beliau di Hulu Kelang, malam tadi.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Pyanhabib.
Beliau berkata Pyanhabib merupakan seorang penyajak, penulis, pelakon serta seniman yang amat disayangi dan disegani.
“Di awal perjalanan saya sebagai seorang penggiat seni, saya sering nantikan persembahan bacaan sajak oleh Allahyarham.
“Kali terakhir kami bekerjasama ialah ketika melakukan kameo dalam video Malaysia MADANI nyanyian Bunkface tahun lalu,” katanya di laman X.
Fahmi berkata pemergian Pyanhabib akan diratapi oleh para seniman tanah air.
“Tenanglah dikau di negeri abadi. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham,” katanya.