KUCHING, 2 Jun: Hujan lebat pada hari kedua perayaan Gawai tidak menghalang kemeriahan sambutan di Sarawak.
Ini dapat dilihat apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi meneruskan sesi ‘ngabang’ (berkunjung) ke kediaman Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Ketibaan Tun Dr Wan Junaidi dan isteri sekitar 1:49 petang disambut oleh Douglas Uggah dan isteri, Datin Amar Doreen Mayang serta ahli keluarga.
Kunjungan itu turut disertai oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang terlebih dahulu tiba sekitar jam 1:25 petang.
Tun Dr Wan Junaidi dan Abang Johari meluangkan masa lebih sejam di kediaman Douglas Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.
Terdahulu, Tun Dr Wan Junaidi sempat berkunjung ke Rumah Bishop Gereja Anglikan Sarawak dan Brunei di Jalan McDougall. -TVS