KUCHING, 30 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijemput menyampaikan ucaptama berkaitan bidang ekonomi hidrogen hijau dan berkongsi perancangan industri hidrogen di Sarawak pada Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata APGH 2024 yang julung kalinya diadakan di rantau Asia Pasifik itu membabitkan 27 negara pembekal hidrogen seluruh dunia.

“Kebanyakan negara tersebut merupakan pakar dan pemain utama industri hidrogen di seluruh dunia. Antaranya Jepun, Korea, Singapura, United Kingdom dan Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan taklimat berkaitan APGH 2024 kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Jelasnya, 4,000 pengunjung dan lebih 700 delegasi antarabangsa dijangka hadir pada persidangan berkenaan.
“Secara maya pula kita ada lebih 20,000 pengunjung,” katanya lagi.
Persidangan itu katanya juga akan melibatkan pelajar-pelajar pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dari universiti dan kolej tempatan.
APGH 2024 dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dan dijangka menarik pembabitan 91 peserta pameran industri hidrogen. – TVS