KUCHING, JULAI21: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bakal mengeluarkan buku panduan bagi memudahkan orang ramai menyelamatkan mangsa kemalangan sebelum kehadiran pasukan penyelamat.
Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menjadikan penunggang penghantar makanan sebagai rakan strategik dalam tugas penyelamatan khususnya dalam kejadian kemalangan jalan raya.
“Sebab kita lihat bahawa setakat hari ini penunggang pengedar makanan (Grab Rider) mereka ada berada dimana dan mereka ini di atas jalan dan setiap kes kejadian mereka dapat hadir, saya dah perhatikan di Kuching, Miri , Bintulu, mereka ini sentiasa akan mengawal keadaan ditempat kejadian,”Kata Khirudin.
Jelasnya, pihaknya akan mendapatkan kerjasama syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi menghasilkan buku panduan mengenai penyelamatan nyawa.
“Dua hari lepas kita telah berbincang dengan Pengurus Besar PETRONAS dan akan berkerjasaman dengan mereka untuk mendapatkan peruntukan bagi menghasilkan buku panduan itu dan JBPM akan menyalurkan panduan penyelamatan yang betul serta langkah-langkah keselamatan untuk mengelak bencana yang lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Hero Bomba kepada orang awam dan penunggang P-Hailing di Kuching, pada Rabu.