GEORGE TOWN, 22 Mei: Seramai 15 wanita warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan awal pagi tadi.
Menerusi operasi selama beberapa jam bermula pukul 11 malam itu, wanita berpenampilan seksi tersebut dipercayai bekerja di pusat hiburan berkenaan dengan melayan pelanggan.
Difahamkan, mereka bekerja sebagai tukang cuci pejabat, pembantu restoran dan pekerja spa pada sebelah siang.
Sementara itu, Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, operasi tersebut menahan warga Thailand, Indonesia dan Vietnam.
“Pemeriksaan mendapati mereka yang berusia antara 25 hingga 30 tahun itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1963.
“Antara kesalahan ialah menetap di negara ini lebih masa, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Depot Imigresen di Juru, Bukit Mertajam dekat sini bagi siasatan siasatan lanjut. – TVS