Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-63 Che Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak di Kuching, malam tadi. Foto Aziz Soleh (TVS)

Yayasan Buah Pinggang CHKMUS sedia khidmat dialisis percuma

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 22 Mei: Yayasan Buah Pinggang Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS) Sarawak menyediakan perkhidmatan perubatan percuma yang telah memberi manfaat kepada lebih 500 orang dari pelbagai kaum.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, yayasan itu juga telah menyediakan subsidi bulanan kepada lebih 100 keluarga miskin dan mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan kaum.

“Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun 1998, CHKMUS dan MAA telah bersama-sama menubuhkan Pusat Amal Dialisis CHKMUS-MAA Medicare bagi menyediakan rawatan dialisis mampu milik untuk membantu pesakit dialisis buah pinggang.

“Pusat yang terletak di Jalan Laksamana Cheng Ho yang menelan belanja lebih RM10 juta ini mempunyai antara peralatan paling canggih di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-63 Che Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Meningkatkan Akhlak Malaysia, Dato Sri Tay Min Fatt dan Pengerusi Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS) Sarawak, Dato Sri Tay Chin Kin.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, disebabkan peningkatan bilangan pesakit buah pinggang setiap tahun, kemudahan di pusat tersebut seperti mesin dialisis buah pinggang tidak lagi mencukupi.

“Pada masa ini, pusat berkenaan mempunyai 70 mesin dialisis buah pinggang yang beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dan terdapat lebih 230 pesakit menerima rawatan dialisis buah pinggang.

“Selain itu, lebih seratus orang dalam senarai menunggu, malah ada yang meninggal dunia sebelum menunggu dialisis buah pinggang dan untuk itu, lebih banyak dana dan kemudahan diperlukan untuk membantu pesakit-pesakit sedemikian,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Abang Johari, Yayasan Buah Pinggang CHKMUS turut memerlukan tanah di hadapan bangunan pusat dialisis sedia ada itu untuk pembinaan bangunan perubatan dan komersial yang baharu.

“Bangunan yang menelan belanja lebih RM60 juta ini akan mempunyai unit sewaan termasuk auditorium, dewan bankuet, unit perubatan, kedai komersial dan sebagainya selepas ia siap nanti.

“Ini adalah satu lagi projek besar dan kos yang diperlukan juga sangat besar, justeru saya amat berharap agar semua lapisan masyarakat dapat menghulurkan sumbangan untuk menyiapkan projek ini secepat mungkin,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan