SIBU, 19 Mei: Kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang utuh di Sarawak merupakan faktor yang membolehkan banyak pembangunan dan kemajuan dapat dilaksanakan di wilayah ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal itu terbukti apabila Sarawak terlibat dengan ekonomi baharu serta menjadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama.
Jelas Ahmad Zahid, Sarawak setakat ini mempunyai tujuh institusi TVET yang mengajar kemahiran kenderaan elektrik (EV), internet kebendaan (IOT), robotik dan teknologi baharu yang membolehkannya mempunyai sumber baharu dengan keperluan tenaga kerja mahir yang mencukupi.
“Bukan mahu membandingkan Sarawak dengan negeri lain, namun apabila kestabilan politik dapat dicapai dengan baik, maka nama Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi di ASEAN dan Asia. Inilah pentingnya kestabilan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amal Pra Gawai Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini malam tadi.
Turut hadir, Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum, Naib Presiden Kanan, Dato Sri John Sikie Tayai dan Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, beliau turut menyokong sepenuhnya TVET sebagai aliran baharu pendidikan negara.
Tambahnya, TVET dahulunya dianggap sebagai pilihan kedua oleh namun tidak lagi pada hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan komitmen kementerian itu bagi memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak dipercepatkan.
Menurutnya, projek yang telah diluluskan akan dibawa terus kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat dan JKR Sarawak.
“Rakyat desa amat dahagakan infrastruktur, projek air dan elektrik malah dewan masyarakat terutamanya di rumah panjang.
“Walaupun rumah panjang bukan menjadi tanggungjawab langsung kementerian saya tetapi atas rasa yang sangat dekat dengan penduduk, KKDW juga turun membantu rumah-rumah panjang untuk diperbaiki,”katanya. -TVS.