KUCHING, 15 Mei: Tengku Sri Temenggong Raja Terengganu, Yang Amat Mulia Brigedier Jeneral Dato’ Seri Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Muktafi Billah Shah berkenan melawat ke Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini pada Rabu.
Baginda beserta 48 ahli rombongan tiba di perkarangan Muzium Budaya Borneo pada jam 9.15 pagi disambut oleh Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Nancy Jolhi.
Rombongan tersebut turut disertai oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar serta tetamu kehormat lain.
Setibanya di muzium, baginda telah menurunkan tandatangan di buku lawatan ke Muzium Budaya Borneo sambil disaksikan oleh semua tetamu yang hadir.
Sejurus itu, baginda dipersembahkan cenderamata daripada pihak muzium serta merakam gambar kenangan bersama warga kerja muzium berkenaan.
Lawatan baginda diteruskan dengan meninjau ke seluruh pameran muzium sambil mendegar penerangan daripada pegawai bertugas.
Baginda dan rombongan kemudiannya berkenan bersantap di Restoran Muzium Budaya Borneo.
Lawatan baginda ke BCM bersempena dengan Persidangan Sidang Komander Askar Wataniah Siri 35/2024 (SKAW) yang berlangsung di Kuching pada Selasa, 14 Mei, bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan rancangan pengambilan anggota, pengurusan latihan, pentadbiran dan pembangunan Askar Wataniah.-TVS