LUNDU, 15 Mei: Cubaan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia menyelinap masuk ke negeri ini di Sektor Pos GABMA Biawak di sini, dipatahkan pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) semalam.
Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, sepasukan anggota TDM sedang melaksanakan penugasan rondaan di Sektor
Pos GABMA Biawak berdekatan lorong tikus iaitu jarak lebih kurang 200 meter dari sempadan Indonesia pada jam 11.45 pagi.
“Semasa sedang melaksanakan rondaan, anggota ronda tentera terserempak enam orang PATI sedang berjalan daripada arah sempadan Indonesia.
“Anggota ronda tentera telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap enam orang PATI tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua PATI dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia.
“Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap enam orang PATI dalam lingkungan umur 26 hingga 52 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai,” ujarnya.
Katanya, anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM4,120 iaitu melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian.
“Kesemua PATI telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa,” ujarnya -TVS