KUCHING, 14 Mei: Penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.0 juta orang pada suku tahun pertama 2024, menurut Laporan Perangkaan Demografi Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkaan Malaysia, Dato Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 iaitu 33.2 juta.
Kata beliau, jumlah penduduk merangkumi 30.6 juta atau 90 peratus berstatus warganegara dan 3.4 juta atau 10 peratus bukan warganegarsa.
“Penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta daripada 17.4 juta pada suku tahun pertama 2023 dan perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama,” katanya menerusi kenyataan media di Putrajaya hari ini.
Mohd Uzir menambah, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk dalam kalangan warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Sementara itu, katanya jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus (106,386 kelahiran) berbanding 117,413 kelahiran pada suku tahun pertama 2023.
“Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 49 bayi bagi setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan sehari pada suku pertama 2024,” katanya sambil menambah bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,639 kelahiran.
Mengikut statistik, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,951 kelahiran (18.8 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (323 kelahiran: 0.3 peratus).
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, pada tempoh yang sama, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,730 kematian (16.1 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian (0.1 peratus).
“Kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,067 3 kematian (71.0 peratus), diikuti oleh umur 41 – 59 tahun (19.8 peratus), umur 15 – 40 tahun (7.0 peratus) dan umur 0 – 14 tahun (2.2 peratus),” katanya. -TVS