KUCHING, 14 Mei: Rundingan Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menyentuh perkara melibatkan pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini rundingan untuk meminda Perkara 25A Perlembagaan Persekutuan masih diteruskan.
“Kita akan bekerjasama dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) dan Peguam Besar Negeri untuk memastikan Sarawak mendapat hak dan kedudukan istimewa berhubung hal pelancongan seperti yang dipersetujui di bawah MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, Sarawak semakin mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Singapura menerusi peranan yang dimainkan oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS).
DUN Sarawak: Lonjakan lebih 25 peratus kedatangan pelancong direkodkan
Jelas beliau, perkembangan ini dapat dilihat menerusi peningkatan ketara 29.8 peratus ketibaan pelancong Singapura ke Sarawak.
“Pada tahun lepas, seramai 60,760 pelawat berbanding 46,812 pelawat semasa pra-pandemik COVID-19 pada 2019.
“Pertumbuhan ini menunjukkan strategi berkesan yang dilaksanakan oleh kementerian, STATOS dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.
Tambah Abdul Karim, pada tahun ini STATOS berjaya memperoleh komitmen daripada tiga kumpulan sekolah dari Singapura untuk membawa kira-kira 280 pelawat muda ke Sarawak.
Sementara itu kata beliau, kerjasama strategik STATOS dengan Scoot Airways pula telah berjaya membuka pasaran baharu untuk menarik pelawat dari China ke Sarawak menerusi Singapura. -TVS.