BINTULU, 11 Mei: Masyarakat Bintulu disaran agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka dan tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan Para SUKMA Sarawak 2024.
Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti berkata ini penting bagi menjaga imej Sarawak khususnya Bintulu yang bakal menerima atlet dan pegawai kontinjen yang mengambil bahagian dalam tiga acara sukan di sini kelak.
“Saya menyeru kepada masyarakat Bintulu untuk memberikan kerjasama dan senantiasa menjaga tatatertib kita yang penuh bersopan-santun bagi sepanjang acara sukan di sini.
“Bukan itu sahaja, saya juga menyeru kepada semua untuk memberi sokongan yang padu kepada atlet-atlet kita yang bertanding bagi memastikan kemenangan milik penuh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Larian Baton sempena SUKMA Sarawak dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini.
Larian Baton itu disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri Johnny Sikie Tayai, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Marzuki.
Bintulu menjadi tuan rumah bagi tiga acara sukan iaitu bola sepak, Muay Thai dan sepak takraw.
Beliau juga menaruh harapan yang tinggi buat atlet-atlet kontinjen Sarawak yang menyertai ketiga-tiga acara berkenaan dan memastikan Sarawak menyapu bersih dan menjulang kejuaraan.
Tambah Nyurak, SUKMA merupakan peluang terbaik bagi skuad kontinjen Sarawak untuk menyerlahkan bakat mereka dan seterusnya mensasarkan kejohanan berprestij di rantau ini iaitu Sukan SEA. – TVS