Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
DBKL sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang serta menyediakan panduan baharu dengan memberi fokus pokok berusia dan berisiko tinggi.

Garis panduan baharu tangani pokok berusia, berisiko siap Julai ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang serta menyediakan panduan baharu dengan memberi fokus pokok berusia dan berisiko tinggi.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan garis panduan baharu itu dijangka siap Julai ini, namun pihaknya akan terus menjalankan kerja-kerja pemantauan terhadap pokok berisiko dengan mengambil kira aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menurut kenyataan itu hingga kini sebanyak 175 pokok dikenal pasti berisiko tinggi iaitu sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun dengan 147 daripadanya telah ditebang.

“DBKL menerusi kontraktor yang dilantik telah menjalankan pemeriksaan ke atas pokok yang berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter di sekitar Kuala Lumpur sejak 2019.

“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024 dengan 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan pokok berisiko adalah merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur serta tumbang dan penilaian risiko pokok pula dilakukan dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Jika keadaan pokok didapati tidak memuaskan, penilaian lanjut diikuti dengan tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan pokok akan dilaksanakan,” menurut DBKL.

Dalam pada itu, pihak DBKL turut menzahirkan dukacita dan takziah kepada kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lepas.

“Bagi mangsa yang terlibat, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan),” menurut kenyataan itu.

Pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang yang berlaku kira-kira 2 petang telah meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan