KUALA LUMPUR, 8 Mei: Polis mengesahkan telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian khianat dengan cara memecahkan cermin kereta pemain bola sepak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner (ACP) Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 10.05 malam.
Jelasnya pemain berusia 36 tahun itu tidak mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.
“Kerosakan kereta membabitkan cermin besar di bahagian belakang manakala kereta mangsa tiada dashcam.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan ketika ini polis sedang mengesan suspek terlibat dan motif kejadian,” katanya menerusi kenyataan media di Johor Bahru hari ini.
Pada masa sama, Raub menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kes itu.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes, Inseptor Fahmi Muhamad Rasyid Rabuan di talian 012-6648916,” katanya.
Malam tadi menerusi menerusi perkongsian di Instagram, bekas penyerang kebangsaan itu mendedahkan dia membuat laporan polis selepas diserang dua lelaki bermotosikal ketika sedang memandu di Johor Bahru.
Sultan Selangor titah segera siasat insiden berunsur keganasan babitkan Faisal Halim
Safiq mendakwa, cermin bahagian belakang kereta pecah selepas diketuk dengan tukul besi oleh suspek.
Sebelum ini pemain JDT yang dipinjamkan ke Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang dan disamun di Kuala Terengganu, pada minggu lepas.
Akibat kejadian itu, pemain kelahiran Kedah itu mengalami kecederaan di kepala dan kaki.
Sultan Selangor titah segera siasat insiden berunsur keganasan babitkan Faisal Halim
Pada Ahad, dunia bola sepak tempatan digemparkan dengan kes penyerang Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid di luar sebuah pusat membeli belah di Damansara.
Faisal yang lebih dikenali sebagai Mikey disahkan melecur tahap empat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Shah Alam. -TVS
Sultan Selangor titah segera siasat insiden berunsur keganasan babitkan Faisal Halim