KUCHING, 4 Mei: Lima Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula Isnin ini, 6 hingga 15 Mei 2024.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mendedahkan tiga daripada RUU berkenaan akan dibentangkan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Menurutnya, tiga RUU terbabit adalah; RUU Perbekalan Tambahan (2023), 2024; RUU Perbekalan Tambahan (2024), 2024 dan RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak.
Manakala kata Asfia, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian akan membentangkan RUU Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan), 2024.
Seterusnya, RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan), 2024 bakal dibentangkan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga merupakan Menteri SumberAsli dan Pembangunan Bandar Kedua.
“Bacaan kali pertama bagi kesemua RUU tersebut akan dilakukan pada hari Kedua persidangan iaitu Selasa, 7 Mei 2024,” katanya.
Sementara menurutnya, bacaan kali Kedua dan Ketiga RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak, 2024; RUU Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan), 2024; dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan), 2024 akan diadakan pada Selasa, 7 Mei 2024.
Dalam pada itu, di bawah Peraturan Mesyuarat 2, Asfia memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dibenarkan menyerahkan usul sebelum tarikh tutup iaitu Jumaat, 26 April lepas.
Menurut beliau, secara amnya, persidangan kali ini merangkumi ucapan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, sesi soal jawab, pembentangan Rang Undang-Undang Kerajaan, Usul Penghargaan Kepada Mantan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Perbahasan Usul Penghargaan Kepada Mantan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dan Perbahasan Usul Penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 akan diadakan selama lapan hari dan tiada persidangan pada hari Sabtu, 11 Mei 2024 dan Ahad, 12 Mei 2024.
Manakala sesi Soal Jawab akan diadakan selama empat hari bermula pada hari Selasa, 7 Mei 2024 hingga Jumaat, 10 Mei 2024.
Persidangan dimulakan dengan ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin ini. – TVS