Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tidak Perlu ‘Dine-in’ Jika Keadaan Tidak Mendesak

ByOdleen Catherny

KUCHING: Baharu sahaja semalam Sarawak membenarkan premis kedai makanan beroperasi secara ‘dine-in’, namun tidak dinafikan kes baharu melibatkan varian Delta di bahagian selatan Sarawak telah melahirkan kebimbangan awam.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam Dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, menyarankan kepada orang ramai untuk tidak makan di premis makanan sekiranya keadaan tidak mendesak.

Ini kerana sifat varian Delta yang lebih agresif dan cepat merebak, sekaligus memberikan kesan sampingan yang lebih memudaratkan individu yang dijangkiti.

“Kemunculan varian ini dalam kalangan masyarakat kita amat membimbangkan meskipun angka kes positif COVID-19 di Sarawak mencatatkan penurunan.

“Saranan saya kepada masyarakat di luar sana, sekiranya keadaan tidak mendesak, usahlah ‘dine-in’ dahulu, tangguhkan dahulu aktiviti ini sehinggalah keadaan reda dan kes jangkitan varian ini dapat dikurangkan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan memutuskan untuk membenarkan pelanggan makan di dalam premis makanan bermula 16 Julai.

Keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemaskini Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan bagi Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi perkhidmatan perlu sektor ekonomi peruncitan.

Dalam perkembangan sama, Dr Abdul Rahman turut menggalakkan individu yang berniaga di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

Ini berikutan situasi golongan penjaja yang sentiasa berhadapan dengan orang ramai.

Menurutnya, berkemungkinan pada masa akan datang, hanya penerima vaksin sahaja dibenarkan untuk memohon permit atau lesen perniagaan daripada DBKU.

“Saya menyarankan semua penjaja mendaftar diri sebagai penerima vaksin. Kalau belum ada panggilan menerusi MySejahtera, pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendaftar.

“Pada masa akan datang ia (penerimaan vaksin) akan menjadi syarat untuk mendapatkan permit atau lesen perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syarat baharu yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi mewajibkan pemegang lesen pusat penjaja dan pasar untuk melengkapkan vaksin COVID-19 sebelum membuka perniagaan.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng dalam kenyataannya menyebut, langkah itu bukan sahaja dapat melindungi peniaga bahkan orang awam daripada dijangkiti wabak itu.

Sehubungan itu, jelas Dr Abdul Rahman lagi, DBKU sememangnya sudah menetapkan setiap peniaga wajib mendapatkan suntikan demam kepialu atau tifoid sebelum memohon permit.

Menurutnya lagi, setakat ini ramai warga kota sudah menerima vaksin kerana banyak PPV dibuka di sekitar bandar raya ini.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan