KUCHING, 2 Mei: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan mula beroperasi pada tahun hadapan selepas selesai kerja-kerja ubah suai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerja-kerja ubah suai akan dilakukan selepas permit menduduki (OP) bagi kompleks tersebut dikeluarkan pada minggu pertama September tahun ini.
“Kita tidak menjangkakan sesiapa sahaja akan berpindah ke sini pada minggu pertama September tersebut tapi tempoh itu adalah untuk mereka bersedia melihat tempat tersebut, membuat keputusan sebelum mereka mengambil tempat dan memulakan pengubahsuaian.
“UNIFOR akan memulakan pengubahsuaian pada September dan mungkin akan berpindah tahun depan,” katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai status kemajuan projek disusuli dengan lawatan ke tapak projek bertempat di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Walaupun mengalami sedikit kelewatan, Uggah gembira melihat perkembangan kerja-kerja pembinaan kompleks itu dan yakin pihak kontraktor akan dapat menyiapkan projek penting bagi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini pada waktunya.
Turut serta dalam taklimat dan lawatan hari ini ialah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang juga ahli Lembaga Amanah Kebajikan UNIFOR dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.
Mengulas mengenai jangkaan kesesakan jalan di kawasan itu apabila Kompleks UNIFOR beroperasi, beliau berkata kajian terhadap jalan raya akan dijalankan bagi memastikan kompleks itu mudah diakses.
“Dengan siapnya bangunan ini kelak, kita juga mempunyai bangunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), Bangunan baharu Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan ada juga pembangunan di sebelah jalan sana.
“Maksudnya kawasan ini akan sesak. Adalah sangat penting untuk kita memastikan kawasan ini boleh diakses kerana kita akan mempunyai beberapa lot kedai untuk perniagaan,” tambahnya.
Kompleks UNIFOR mula dibina pada Julai 2022 dengan nilai kontrak projek berjumlah RM63.6 juta.
Ia merangkumi bangunan setinggi 10 tingkat dengan dewan persidangan pada tapak seluas tiga ekar. – TVS