SIBU, 30 April: Tindakan pantas Bomba Sibu berjaya mengawal kebakaran di sebuah kilang kayu daripada mengalami kemusnahan lebih teruk di Jalan Ting Sing, Sungai Bidut dekat sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, PgKB 1 Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.08 malam.
Menurutnya, dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu bersama 27 anggota bomba serta jentera masing-masing telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan longgokan tayar terpakai yang berada di bahagian dalam dan luar kilang kayu yang sedang marak terbakar.
“Kebakaran juga telah merebak ke timbunan kayu yang telah siap diproses yang berada berhampiran longgokan tayar tersebut namun kita berjaya bertindak mengawal api dalam tempoh setengah jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Andy berkata, kebakaran hanya mengakibatkan sembilan peratus terbakar iaitu 260 meter persegi dari keseluruhan saiz bangunan 3,000 meter persegi.
“Pasukan pemadam telah menggunakan menggunakan kaedah ‘offensive’ dengan kesemua nozzle pam masuk ke dalam bangunan untuk membuat pemadaman dan mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh 29 minit selepas pancutan pertama,” katanya.
Andy berkata, anggota bomba kemudian mengalihkan longgokan tayar bagi memudahkan pancutan air masuk ke bahagian punca api dalam longgokan tayar dan bantuan fork lift kilang juga digunakan mengalihkan timbunan kayu bagi memudahkan lagi operasi pemadaman seterusnya.
Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 11.50 malam.
Tiada kecederaan mahu kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden itu dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.-TVS