MIRI, 28 April: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM7 juta untuk memastikan fasiliti Sukan Malaysia (SUKMA) di Miri berada di tahap terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, ini membolehkan para atlet dapat bertanding serta menginap dalam suasana yang kondusif sepanjang temasya itu elak.

“Kita memohon peruntukan dalam anggaran RM7 juta kepada kerajaan negeri untuk menambahbaik infrastruktur serta fasiliti di Miri. Anggaran RM4 juta diperuntukan untuk menambahbaik Stadium Bandaraya Miri dan RM2 juta dikhaskan untuk Stadium Miri serta RM1 juta pula diperuntukan bagi menaik taraf perkampungan sukan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa sesi lawatan kerja lokasi-lokasi yang akan digunakan semasa acara SUKMA 2024 di Miri yang dijangka akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024.
Kerajaan Sarawak membelanjakan hampir RM300 juta bagi memastikan kejayaan penganjuran SUKMA di Bumi Kenyalang, ini termasuk kos menaik taraf gelanggang sukan, logistik serta penganjuran temasya tersebut.-TVS