LUMUT, 23 April: Sepuluh mangsa terkorban dalam nahas dua helikopter yang bertembung di udara di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.
Difahamkan kejadian berlaku semasa pasukan tentera melakukan raptai Hari Terbuka Armada TLDM yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Mei depan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Saiful Rizan Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.50 pagi.
Katanya, jentera yang sampai 10 minit kemudian mendapati kemalangan membabitkan dua helikopter.
“Tiga mangsa daripada helikopter pertama disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Empat daripada tujuh mangsa dari helikopter kedua sedang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, usaha membawa keluar baki mangsa sedang dilakukan.
Sementara itu TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.
Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
“TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan,” katanya. – TVS