SIBU, 22 April: Jenazah Rapaie Tarip, bapa Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, kira-kira 1.15 tengah hari ini.
Rapaie yang berusia 94 tahun meninggal dunia pada pukul 2.37 pagi hari ini di Hospital Sibu.
Dr Annuar ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada semua kerana telah membantu memudahkan urusan pengebumian bapanya.
“Saya mohon semua berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Menurut beliau, bapanya mula menghadapi masalah kesihatan sebelum puasa.
“Walaupun sudah berusia 94 tahun, beliau masih lagi cergas, boleh memandu, pergi ke bank dan memasak. Namun, sebelum bulan puasa, beliau mula sakit,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Annuar turut menjemput orang ramai menghadiri majlis tahlil selama tujuh hari di kediamannya di Jalan Kangkung, di sini.
Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di kediamannya di Nombor 19B, Jalan Kangkung.
Antara yang menziarahi, Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, Pemanca Datuk Jason Tai, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley.
Sementara itu, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Fatimah Othman dan lima anak lelaki dan seorang anak perempuan dan lebih 20 orang cucu dan Dr Annuar merupakan anak bongsu. – TVS