
KUCHING, Julai 15: Selepas lebih lima tahun bermaharajalela dan berselindung di sebalik perniagaan perabot dan elektrik, aktiviti sebenar sebuah sindiket pinjaman wang haram akhirnya terbongkar 14 individu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sindiket itu berjaya ditumbangkan melalui satu operasi yang dinamakan OP Vulture.
“Daripada serbuan tersebut, polis telah menangkap seramai 14 individu yang terdiri daripada empat lelaki warga tempatan yang merupakan ketua sindiket, dua orang wanita yang merupakan pemilik akaun, seorang wanita warga tempatan yang merupakan kerani dan bertindak sebagai pencari pelanggan dan enam orang lelaki yang merupakan pencari dan pemungut hutang.
Kesemua suspek berumur antara 21 tahun hingga 48 tahun,” kata Ahsmon dalam satu sidang media di sini.
Jelasnya, sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2016 sehingga ke hari tangkapan dilakukan dan telah mengaut keuntungan yang dianggarkan sebanyak RM 1.1 juta.
Antara barangan dirampas termasuk 13 telefon bimbit, sekeping kad ATM, 2 kotak kad pemberi pinjaman wang tanpa lesen, 14 sim kad telefon bimbit, 45 keping banting dan pelbagai dokumen pinjaman pelanggan.
“Modus operandi sindiket ini menggunakan kaedah mempromosikan pinjaman melalui media sosial, meletakkan kadar pemberi pinjaman wang tanpa lesen di kenderaan serta menggantung banting di tiang lampu,” tambah Ahsmon
Kesemua tangkapan telah disiasat dibawah seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.