KOTA SAMARAHAN, 21 April: Draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang masih diperhalusi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, ia akan diagihkan selepas dimuktamadkan setelah dipersetujui oleh semua pihak.
“Kita akan drafkan dulu, apabila draf sudah dipersetujui kita akan agihkan kepada pihak pembangkang dan mereka akan menilai sama ada bersetuju ataupun ada pindaan dan sebagainya.
“Bila sudah dinilai kita akan ada keputusan. Buat masa sekarang tunggulah ia masih di draf,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Stakan di sini, hari ini.
Terdahulu, Putrajaya bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dengan satu draf MoU akan dirangka untuk rundingan seterusnya.
Fadillah menerusi satu kenyataan berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya, pada Rabu. -TVS