KUCHING, 21 April: Rakyat Malaysia khususnya rakyat Sarawak digesa menyokong kepada perubahan yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak yang tidak lagi menggunapakai terma ‘negeri’ bagi merujuk kepada Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, ia adalah mencermin status Sarawak sebagai sebuah ‘wilayah’ di Malaysia selepas Kerajaan Sarawak menggubal undang-undang pada Februari 2022 dengan menukar gelaran ‘Ketua Menteri Sarawak’ kepada ‘Premier Sarawak’.
Tambah Dr. Sim, semangat itu jelas terpancar apabila mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merujuk Sarawak sebagai sebuah ‘wilayah’.
“Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan melalui Kabinet Kerajaan Persekutuan dan seterusnya melalui pekeliling Ketua Setiausaha Negara kepada semua penjawat awam persekutuan bahawa protokol persekutuan menggariskan kedudukan jawatan Premier Sarawak adalah setaraf dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
“Kedudukan jawatan Premier Sarawak tidak lagi duduk selepas yang terbaik atau duduk yang paling ke belakang daripada barisan menteri-menteri persekutuan dalam mana-mana majlis rasmi persekutuan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki telah bertungkus-lumus mengetuai perubahan itu dengan menggugurkan terma ‘negeri’ pada pejabatnya kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Malah, beberapa nama lain turut menggugurkan terma ‘negeri’ dan kini dikenali dengan Kerajaan Sarawak, Dewan Undangan (DUN) Sarawak, Jabatan Kesihatan Sarawak, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak.
“Kita sebagai warganegara Malaysia perlu ingat akan penubuhan Persekutuan Malaysia yang dibentuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) pada tahun 1963, kita dibentuk hasil pembentukan sebagai salah satu daripada empat rakan kongsi.
“Oleh itu, pentingnya kita mendalami dan mengetahui intipati Perjanjian Malaysia 1963 yang selalu diketengahkan oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada tahun 2016,” tegas Dr. Sim lagi.
Dua tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu meminda Perkara 160 Perlembagaan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang dilihat dapat mengembalikan sebahagian hak Sarawak yang terhakis.
Tun Dr Wan Junaidi yang kini merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkata, pindaan tersebut menjelaskan lagi kedudukan Sarawak dalam Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan kerana ia turut melibatkan pelaksanaan dasar pendidikan, keahlian dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri dan peruntukan kewangan khas tahunan untuk Sabah dan Sarawak. – TVS