KUALA LUMPUR, 14 — Seramai 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi layak menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Tahun lepas hanya lapan orang rakyat Malaysia di negara itu yang dapat menunaikan haji.
Beliau berkata Tabung Haji (TH) akan memberikan kursus secara dalam talian berkaitan ibadah haji kepada semua jemaah itu.
“Malam esok, insya-Allah saya akan adakan temu bual dengan bakal haji rakyat Malaysia yang sedang berada di kota suci Makkah Al-Mukarramah,” katanya dalam program Salam Baitullah di saluran TV1 RTM malam ini.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memutuskan ibadat haji musim ini hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada di negara itu sahaja berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.
— BERNAMA