KUCHING, 19 April: Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia membangunkan aplikasi Rabies sebagai inisiatif mengawal Rabies secara digital dalam usaha mencapai sasaran ‘Zero Rabies’ menjelang 2030.
Aplikasi berkenaan dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud, aplikasi khas itu khusus diperkenalkan kepada pencinta haiwan atau mereka yang membela haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
“Aplikasi yang dikenali sebagai Rabies App yang direka khas untuk mengawal Rabies di Sarawak secara digital boleh dimuat turun dari Google Play Store bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna IOS.
“Inisiatif ini adalah untuk menyimpan maklumat dan sejarah rawatan haiwan peliharaan secara digital supaya tidak memegang rekod haiwan peliharaan secara fizikal,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Dr Adrian menambah, aplikasi itu juga akan dilengkapi ‘Pet Passport’ yang perlu didaftar dengan penanaman mikrocip di bahagian tengkuk haiwan peliharaan mereka sebagai bukti dokumentasi haiwan berkenaan berikutan ia memiliki nombor mikrocip, nombor lesen, penyata status vaksinasi selain semua informasi terkini berkaitan dengan Rabies boleh didapati dalam aplikasi serba guna ini.
Sementara itu, kelebihan lain aplikasi berkenaan kata Dr Adrian juga merangkumi aduan atau laporan dengan mengambil gambar haiwan yang disyaki Rabies untuk dikemas kini kepada agensi-agensi yang berwajib bagi mengenal pasti lokasi aduan dan seterusnya untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, aplikasi tersebut juga mampu mengesan haiwan peliharaan berdaftar yang hilang dengan mengimbas nombor di mikrocip bagi dimasukkan dalam aplikasi canggih ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai haiwan peliharaan untuk memuat turun aplikasi Rabies berkenaan untuk membanteras penyakit Rabies sekali gus mendapatkan infomasi terkini berkaitan Rabies. – TVS