KUCHING, 18 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi mewakili Malaysia berkongsi ilmu berkaitan peralihan tenaga dan inisiatif menangani perubahan iklim dalam satu forum di Poland.
Abang Johari dijadual berangkat ke Poland, esok bagi menghadiri The Central European Hydrogen Technology Forum dan The Central European Decarbonisation Forum, masing-masing berlangsung pada 24 dan 25 April ini.
Menerusi kenyataan media pada Khamis, Abang Johari menerima jemputan ke forum berkenaan daripada Marshal Wilayah Wielkopolska, Marek Wozniak yang juga merupakan penganjur kedua-dua forum tersebut.
Abang Johari sebelum ini memaklumkan beliau akan berucap mengenai perspektif dan pengalaman Sarawak termasuk sejauh mana inisiatif kerajaan negeri ke arah peralihan tenaga, keselamatan tenaga boleh diperbaharui, penyahkarbonan dan kelestarian alam sekitar.
Selaku salah seorang ahli panel forum dalam sesi Debate Regions For The Planet beliau akan tampil pada 24 April sekitar jam 11 pagi hingga 12 tengah hari waktu tempatan.
Deligasi Sarawak turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Sementara dalam transit tiga hari di United Kingdom, Abang Johari serta rombongan turut dijadual melawat Drax Power Plant di Selby, Yorkshire Utara pada 21 April.
Difahamkan loji kuasa berkenaan membekalkan 11 peratus keperluan tenaga boleh diperbaharui UK dengan menggunakan biojisim pelet dengan kapasiti penjanaan 3,960 megawatt.
Pada hari berikutnya pula, Abang Johari bakal menyaksikan acara menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat dari Sarawak, SMD Semiconductor bersama Compound Semiconductor Applications Catapult di House of Commons, Parlimen UK di London.
MoU berkenaan menyaksikan usaha kerjasama Sarawak bersama rakan kongsi di UK untuk memacu inovasi yang akan membentuk semula keupayaan dan aplikasi kompaun semikonduktor yang diperbuat daripada dua atau lebih elemen berbanding silikon yang diperbuat daripada satu elemen. – TVS