KUCHING, 18 April: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dilantik sebagai pengerusi Majlis Kepelbagaian Biologi Sarawak yang baharu.
Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) memaklumkan beliau menggantikan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang memimpin majlis tersebut sejak 2022.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas pengerusi, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar atas kepimpinan serta Profesor Datu Dr Andrew Kiyu Dawie dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang juga merupakan ahli majlis ini dari 2020 hingga 2024,” kata Muhammad Abdullah menerusi kenyataan pada Rabu.
Majlis berkenaan turut disertai ahli-ahli baharu, antaranya, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) Datu Lesther Matthew.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kepelbagaian Biologi Sarawak, Dato Dr Yeo Tiong Chia turut berkhidmat sebagai setiausaha majlis tersebut.
Majlis itu memainkan peranan penting dalam menetapkan dasar dan panduan strategik kepada SBC, dalam pelaksanaan projek di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
Antaranya termasuk, Taman Bioindustri pertama Sarawak, serta menetapkan hala tuju untuk pembangunan SBC Green Technologies. – TVS