KUCHING, 14 April: Pejabat Pengurusan Bersepadu (IMO) akan mengendalikan proses penggabungan pihak berkuasa bekalan air di Sarawak, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurutnya, calon yang akan mengetuai IMO telah dikenal pasti yang akan bertanggungjawab menjamin kelancaran penggabungan Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).
“Nama (entiti baharu) belum diberi, tapi proses penggabungan semua pihak berkuasa bekalan air akan dikendalikan IMO. IMO akan laksanakan pada tahun ini,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dua timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurutnya lagi, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar belum digabungkan dengan tiga pihak berkuasa bekalan air tersebut.
Julaihi berkata lagi, kerajaan telah meluluskan RM1.083 bilion untuk tempoh lima tahun bagi membiayai projek menaik taraf sistem bekalan air di seluruh Sarawak.
Jelasnya, 2,740 kilometer paip perlu diganti dan dinaik taraf di seluruh Sarawak.
“Untuk tahun pertama sahaja, RM247 juta diluluskan bagi kerja-kerja menambah baik sistem bekalan air,” katanya.
Mengenai pembinaan empangan hidro elektrik melata, beliau berkata kementeriannya sudah mengenal pasti 10 lembangan sungai yang sesuai dibangunkan untuk tujuan itu.
Lembangan sungai yang telah dikenal pasti akan dibangunkan menggunakan teknologi terkini.
“Kita akan menggunakan teknologi dan pendekatan baharu untuk kita bangunkan kuasa hidro kita yang menggunakan arus sungai,” katanya. – TVS