KUCHING, 11 April: Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meningkatkan taraf hidup rakyat.
Demikian reaksi pengunjung yang ditemui TVS pada hari kedua Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Abang Johari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Warga emas, Muhammad Nawawi Muhammad Kobil, 80, berkata, Bantuan Ihsan Kematian (BIK) yang disalurkan kepada pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) merupakan antara contoh keprihatinan Kerajaan Sarawak.
“KGC meringankan beban kerana penerima menikmati diskaun untuk membeli ubat dan lain – lain,” katanya kepada TVS.
Muhammad Nawawi turut menyeru agar warga emas yang belum memiliki kad itu supaya segera memohon.
Dalam pada itu, seorang pendidik, Idawati Diri, 46, berkata, Bantuan Ibu Beranak (BIK) pula merupakan inisiatif terbaik untuk ibu mengandung.
“BIK membantu ibu selepas bersalin untuk memberi barangan keperluan semasa berpantang seperti makanan, ubat-ubatan dan keperluan bayi,” katanya.
Mengenai hasrat Kerajaan Sarawak ingin menyediakan pendidikan universiti percuma menjelang 2026 pula, Idawati berkata, inisiatif itu akan membantu lebih ramai anak- anak Sarawak keluarga kurang berkemampuan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu,suri rumah,Inon Hawel, 48, dari Pantu, Sri Aman berkata inisiatif BIK dapat mengurangkan beban ibu yang kurang berkemampuan untuk membeli kelengkapan berpantang.
Sementara itu, seorang kerani akaun, Monica Hawel,30, turut menyokong hasrat Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma.
“Inisiatif ini dapat memberi impak besar kepada anak muda yang tinggal di rumah panjang untuk belajar hingga ke menara gading.
“Bantuan kos pengajian ini akan mampu meningkatkan ekonomi di Sarawak dalam jangka masa panjang,” katanya. – TVS