KUALA LUMPUR, 8 April: Sebanyak 42 bas dikenakan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan atas pelbagai kesalahan peraturan teknikal menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri 2024 yang dilaksanakan sejak 1 April lepas di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata jumlah itu direkodkan daripada 3,799 bas yang diperiksa di 54 depoh bas dan 28 terminal bas.
“Kesemua bas tersebut melakukan pelbagai kesalahan teknikal yang berbahaya dan tidak dibenarkan berada di jalan raya. Jadi, mereka ini ditahan daripada menjalankan perkhidmatan kepada penumpang,” katanya selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan di Terminal Bersepadu Selatan, di sini hari ini.
Selain itu, sebanyak 77 bas dikenakan tindakan termasuk 47 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan kesalahan tata kelakuan pemandu seperti bermain telefon bimbit dan tiada pemandu kedua.
JPJ juga katanya turut mengeluarkan larangan memandu kepada enam pemandu bas, masing-masing dua di Kedah dan Sarawak serta satu di Kelantan dan Perak kerana disyaki mengambil bahan terlarang selepas gagal dalam saringan ujian air kencing. -TVS