KUCHING, 8 April: Pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menyaksikan bekas ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu dilihat sebagai manifestasi sokongan terhadap pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu harus diterima dengan tangan terbuka kerana akhirnya sokongan tersebut tetap menjurus kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Saya melihatnya sebagai satu hikmah serta perkara yang bagus.
“Kalau cara pimpinan (Abang Johari) tidak baik, mengapa pembangkang sanggup bubarkan parti mereka untuk sertai parti dalam kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas penyertaan bekas ahli PSB ke PDP.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, beliau berpandangan bahawa perkembangan itu bukanlah semata-mata kerana pilihan raya.
“Pada pilihan raya negeri yang lepas, PSB memberi tentangan hebat kepada GPS (malah kerusi yang dimenangi mereka lebih banyak berbanding parti yang sudah lama didaftar seperti) DAP.
“DAP hanya menang dua (kerusi Dewan Undangan Negeri di Sarawak) dan mereka (PSB) menang empat,” tambahnya.
PSB sah dibubarkan pada malam kelmarin dengan bekas presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP. – TVS