LAWAS, 7 April: Seorang pembantu jurujual maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 8, Jalan Lawas Merapok, petang semalam.
Kejadian pada 6.20 petang itu mengakibatkan Muhammad Irfan Hairun, 19, dari Kampung Luagan Lawas meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan (DSP) Liong Tindan berkata, kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Kenderaan pacuan empat roda itu datang dari arah Merapok ke Bandar Lawas dan secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah Bandar Lawas ke Merapok terbabas serta terjatuh sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak dapat mengelak kerana terlalu dekat lalu merempuh mangsa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Liong, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Lawas manakala pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelas Liong, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987. -TVS