Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aidawati Mansor akui tidak menang tangan menjelang Aidilfitri apabila menerima banyak tempahan kuih batang buruk. Foto TVS.

Resepi 23 tahun kuih batang buruk Aida sering dicari menjelang Aidilfitri

ByAdlina Rahman

KUCHING, 7 April: Saban tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri, ada sahaja kuih serta biskut moden yang tular menjadi buruan untuk dihidangkan di atas meja.

Namun populariti kuih tradisional seperti batang buruk sebenarnya tidak pudar walaupun didakwa kurang diminati oleh golongan muda.

Seorang peniaga, Aidawati Mansor mengakui kuih itu masih dicari kerana jualannya boleh mencecah ribuan ringgit.

Berkongsi cerita bagaimana boleh terlibat menjual kuih batang buruk, wanita yang mesra disapa Aida ini mendedahkan dia jatuh cinta selepas diperkenalkan dengan kuih itu oleh kakak iparnya yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah.

“Kerangupan serta kemanisannya yang disaluti tepung dan berinti kacang hijau sukar dilupakan. Itu telah mendorong saya untuk cuba menbuatnya sendiri dan kemudian berkongsi hasil dengan ahli keluarga dan rakan terdekat,” katanya.

Namun jelas Aida percubaan pertamanya itu kurang menjadi kerana kuih yang dibikinnya itu tidak sama rasa berbanding yang disediakan oleh kakak iparnya.

“Saya kemudian membuat sedikit perubahan pada percubaan berikutnya dan apabila dibawa ke tempat kerja, rakan sepejabat memberi maklum balas positif dan mereka mencadangkan supaya saya menjualnya pula,” katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.

Sejak itu kata Aida bermulalah perjalanannya sebagai penjual kuih batang buruk ‘part time‘ menjelang musim perayaan.

Melangkah masuk ke bahagian dapur rumahnya di Taman Uni Garden, bau wangi kuih yang selesai digoreng itu menarik perhatian.

Pada masa sama, suasana riuh menyambut kedatangan penulis kerana anak dan cucu Aida turut membantunya membereskan tempahan pelanggan.

“Jika sebut batang buruk di sekitar kawasan ini, pelanggan akan cari saya untuk beli kerana mereka sudah biasa dengan jualan saya sejak 22 tahun lepas.

“Saya mula menjual ketika anak sulung berusia tiga tahun dan kini umurnnya sudah mencecah 25 tahun,” katanya.

Jelas Aida, sambutan positif yang diterima mendorong dia menyimpan hasrat untuk mengembangkan perniagaannya dengan memasarkan di pasar raya pada masa akan datang.

Ditanya keistimewaan kuih batang buruknya berbanding yang dijual di pasaran, ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia menggunakan kaedah tradisional ketika penghasilannya.

“Ada bezanya jika gunakan kulit popia berbanding tepung gandum kerana rasa kulit popia itu kurang enak,” jelasnya.

Menjual dengan harga RM37 satu balang, Aida menerima tempahan pelanggan dari seluruh Sarawak serta Semenanjung Malaysia malah katanya ada pelanggannya yang menempah dengan kuantiti yang banyak mencecah ratusan balang.

“Namun saya perlu hadkan tempahan kerana selain memiliki kerjaya sendiri, perniagaan ini dilakukan secara kecil- kecilan sahaja,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan