KUCHING, 4 April: Bagi menyingkatkan masa menunggu giliran menaiki feri, Jabatan Kerja Raya (JKR) menambah jumlah feri dan melanjutkan masa operasi di tiga lokasi dalam bahagian Mukah sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
JKR menerusi notis pemberitahuan hari ini memaklumkan bermula 5 hingga 14 April, Pangkalan Feri Batang Paloh, Muara Lassa dan Kuala Igan akan beroperasi dengan menambah satu lagi feri berbanding dua feri pada hari biasa.
Masa operasi Feri Kuala Igan adalah bermula 4 pagi hingga 12 malam, manakala Feri Batang Paloh dan Muara Lassa bermula 6 pagi hingga 12 malam.
“Susulan penambahan serta perlanjutan masa operasi perkhidmatan feri ini akan mengurangkan kesesakan kenderaan, meningkatkan keselamatan, memendekkan masa menunggu seterusnya mensejahterakan pengguna feri,” notis pemberitahuan itu dipetik.
Semasa musim perayaan, bilangan kenderaan yang menggunakan feri untuk menyeberang sungai lazimnya akan bertambah berbanding hari biasa.
JKR turut menasihatkan pengguna feri agar bersedia serta merancang masa perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang gangguan serta kesulitan di akhir waktu operasi feri.
“Sentiasa mematuhi prosedur standard operasi feri dan mengikuti arahan petugas feri demi keselamatan semua pengguna dan penumpang feri.
“Bersifat sabar, tabah serta menjaga kebersihan kawasan feri,” katanya.