KUCHING, 4 April: Kerajaan Brunei menegaskan tidak pernah menawarkan atau melantik mana-mana syarikat tempatan mahupun dari luar negara untuk mengendalikan projek Kereta Api Rentas Borneo (TBS) yang melibatkan laluan di antara Sarawak, Sabah, Kalimantan di Indonesia dan negara itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei menafikan desas-desus berhubung pelaksanaan projek itu oleh sebuah syarikat tempatan yang hangat diperkatakan di media sosial sejak minggu lalu.
Kenyataan itu menjelaskan, sehingga hari ini tiada sebarang perbincangan rasmi di peringkat Kerajaan Brunei dengan Malaysia dan Indonesia berhubung projek itu.
“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di- Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak pernah menawarkan ataupun melantik sebarang syarikat tempatan mahupun dari luar negeri untuk mengendalikan projek berkenaan.
“Sehingga kini, belum ada sebarang perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenai perkara tersebut mahupun di antara negeri-negeri dan pihak-pihak yang berkepentingan.
“Bagi projek yang berskala sedemikian sudah tentunya memerlukan komitmen di peringkat kerajaan masing-masing terlebih dahulu,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Kerajaan Brunei meminta semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam membuat kesimpulan dengan mengkaji dan mengesahkan setiap maklumat yang diterima terlebih dahulu.
“Ini penting bagi mengelakkan salah faham dan mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat dan negara,” tegas kenyataan itu.
Baru-baru ini, syarikat berpangkalan di Brunei, Brunergy Utama Sdn Bhd di laman sesawang rasminya memberitahu, projek itu kelak akan dibina dalam dua fasa, melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.
Perkara itu mendapat maklum balas dari kerajaan negeri Sarawak, Sabah dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang menyangkal dakwaan itu dengan menegaskan syarikat terbabit tidak terlibat sama sekali. – TVS


