KUCHING, 4 April: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa semua pihak menyerahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes melempar bom petrol di KK Mart Jalan Satok baru-baru ini.
Beliau percaya polis mengambil tindakan berlandaskan undang-undang dalam membendung perkara tersebut agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Kita harap Kementerian Dalam Negeri dan polis boleh selesaikan masalah ini dan jangan biarkan ia berlarutan seperti ini.
“Tindakan untuk melakukan boikot terhadap mereka (KK Mart) hanya membawa lebih banyak tekanan kepada negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden yang berlaku pada 30 Mac lepas pada satu sidang media di sini, hari ini.
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan di Istana Negara.
Bernama yang memetik hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata dalam sesi yang berlangsung selama 15 minit itu Kee Kan memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Sultan Ibrahim bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.
“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO).
“Sekali lagi saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda.



