KUCHING, 4 April: Kerjasama dalam memupuk keupayaan dan potensi belia Sarawak antara perkara dibincangkan Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan (MySED) dalam pertemuan baru-baru ini.
Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim berkata topik perbincangan ini adalah sejajar dengan persediaan untuk pencapaian masa depan seperti SUKMA 2024.
“Kita juga berbincang tentang pembangunan keusahawanan dan juga program kepimpinan belia,” katanya menerusi kenyataan.
Semasa perbincangan di pejabat kementerian itu pada Selasa lepas, MySED diwakili Timbalan Setiausaha Tetap MySED Dolhadi Marzuki.
Jelasnya, penglibatan ini menggambarkan minat bersama dalam menyediakan peluang kepada belia, memupuk pembangunan mereka, dan secara beransur-ansur menyumbang kepada komuniti dan sosioekonomi Sarawak.
“Ia mewakili komitmen terhadap usaha kolaboratif yang berusaha untuk menaikkan dan memotivasikan belia Sarawak,” ujarnya.
Selain itu, perbincangan turut tertumpu tentang memanfaatkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan dengan tumpuan kepada pertumbuhan dan sokongan belia kreatif.



