MIRI, 30 Mac: Program intervensi seperti program pengagihan bubur lambuk dapat memberi peluang kepada golongan anak-anak istimewa untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat luar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penglibatan itu penting agar kanak-kanak berkenaan dapat mempelajari kemahiran penting selain turut menyumbang kepada masyarakat sekeliling.
“Penglibatan mereka adalah penting kerana sememangnya kita memerlukan banyak program intervensi dan khusus untuk membantu mereka supaya dapat menyumbang kepada kemajuan diri, keluarga dan negara.
“Melalui program pada hari ini, anak-anak kita akan mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran penting, contohnya, kepentingan untuk bekerjasama dan memahami tugasan masing-masing,” katanya di Majlis Agihan Bubur Lambuk di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sunflower Centre di sini, hari ini.
Teks Ucapan beliau dibacakan Kaunselor Majlis Bandaraya Miri (MBM), Raymond Tan yang mewakilinya di majlis itu.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dan prihatin dalam memberikan lebih banyak bantuan, melaksanakan program serta menyediakan kemudahan infrastruktur yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU) untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.
Sebanyak 100 pek bubur lambuk diagihkan kepada Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah di majlis yang dianjurkan melibatkan kerjasama dari tiga PPDK di Bahagian Miri iaitu PPDK Miri, PPDK Sunflower dan PPDK Morsjaya. -TVS