KUCHING 29 Mac: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama warga tentera Markas Medan Timur di sini, semalam.
Majlis yang diadakan di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen, Batu 8 di sini, menyaksikan Wan Junaidi dan isteri bersama tetamu kehormat lain serta warga tentera yang hadir turut menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih.
Majlis itu turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada seramai 20 penghuni kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah.
Sumbangan turut diberi kepada 14 warga tentera terdiri daripada mereka yang mempunyai ahli keluarga mengidap sakit kronik, anggota yang dikategorikan sebagai asnaf dan lima orang saudara baharu.
Majlis turut menyaksikan model serta sejarah berkaitan Kampung Pendam yang merupakan tempat kelahiran Tun Pehin Sri Wan Junaidi dipilih sebagai tema majlis dengan bentuk dekorasi yang unik sesuai dengan lenggok sejarah kampung berkenaan.
Hadir sama, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi serta isteri Datin Erni Irawati Rosli, Panglima 1 Divisen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Fauzi Kamis, Panglima-Panglima Formasi, pegawai serta anggota tentera lain-lain pangkat. – TVS