KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri, berjaya mematahkan cubaan sebuah kapal kargo yang disyaki menyeludup masuk 13,000 kampit beras pada jarak lebih kurang 2.6 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram pada Sabtu.
Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Fauzi Othman berkata, tangkapan pada kali ini adalah hasil dari maklumat awam serta risikan menerusi Operasi Khas yang dijalankan di sekitar perairan Miri.
“Bot Kilat 41 Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal kargo yang disyaki sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan menemui 26 kontena yang berisi kira-kira 13,000 kampit beras yang dipercayai bukan beras tempatan, dengan anggaran berat 650 tan dan disyaki cuba diseludup masuk secara haram ke Miri untuk dipasarkan di pasaran tempatan dengan menggunakan kapal kargo tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Bagaimanapun dua kru temapatan bersama lapan warga Indonesia ditahan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen pertukaran Anak Kapal (Sign On Sign Off) serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967 serta Akta Cap Dagang 2019.
Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967 serta Akta Cap Dagang 2019.